KUALA LUMPUR | 21 Feb,2009 | Harakah
Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir menjalankan tugas-tugas sebagai Menteri Besar Perak hakikatnya bersifat subjudis kerana perlantikan beliau sebagai Menteri Besar sudah dicabar kesahihannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar juga menyifatkan kedegilan Dr Zambry untuk menjalankan tugaas sebagai Menteri Besar sebagai percubaan untuk mempengaruhi keputusan mahkamah.
"Siri-siri dakwaan para pemimpin Umno bahawa tindakan mendapatkan keputusan mahkamah menidakkan kuasa Sultan Perak, perhimpunan-perhimpunan yang kononnya mempertahankan raja-raja Melayu setelah raja-raja Melayu mereka hina dan cerca termasuk menggunakan perkataan 'natang' atau binatang serta kedegilan Dr Zambry menjalankan tugaas sebagai Menteri Besar ketika mahkamah belum membuat keputusan, semua itu adalah percubaan mempengaruhi keputusan mahkamah supaya mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar," kata beliau.
Mahfuz menyifatkan perbuatan Zambri itu sebagai keengganan menghormati mahkamah apabila bertentangan dengan keinginan dan kepentingannya.
Hari ini, Dr Zambry mendakwa, kedudukan beliau sebagai ketua kerajaan negeri Perak adalah jelas tetapi telah cuba diberi tanggapan yang sebaliknya oleh pihak tertentu.
"Saya Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan Perak, ini proses yang jelas tetapi ada yang putar-belitkan," dakwa beliau.
Ditanya kenapa Penasihat Undang-Undang Negeri Perak tidak memberi kenyataan untuk menjelaskan kedudukan daripada segi perlembagaan dan undang-undang, Dr Zambry berkata sebagai pegawai kerajaan, beliau terikat dan tidak boleh membuat kenyataan kepada media.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar hari ini - "nyahkan Sivakumar" - dipercayai dilemparkan ekoran keputusannya menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco Kerajaan Negeri lain daripada menghadiri sidang Dewan.
Mohammad Nizar berkata, ugutan 'nyahkan' Sivakumar telah digunakan oleh www.mykmu.net, laman web yang digerakkan oleh penyokong-penyokong Umno.
"Perkataan 'nyah' boleh membawa apa juga maksud... ia boleh membawa makna menyembunyikan, menghilangkan, malah membunuh," jelas Nizar di Ipoh hari ini.
"Jika apa-apa berlaku ke atas Speaker (Sivakumar), ini adalah tindakan mereka (Umno)," kata beliau sambil menambah, Sivakumar telah mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya untuk melindungi keluarga beliau.
Dalam tulisan muka depan laman web itu, editornya berkata:
"Adalah menjadi harapan patik-patik sekalian rakyat jelata agar Tuanku Sultan Perak mengambil tindakan segera ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan mereka yang bersama beliau menggantung Menteri Besar Perak dan Barisan Exconya dari menghadiri sidang DUN Perak.
"Tidak pernah ada dalam sejarah orang Melayu ada manusia bukan Melayu boleh membuat keputusan bawa barang sesiapa yang hadir Majlis Tuanku Raja Melayu sebagai satu tindakan menghina negeri jajahan takluk tuanku sendiri.
"Jika zaman dahulu orang seperti Sivakumar ini sudah lama dibunuh oleh Laksamana Melayu. Hari ini orang Melayu sudah menjadi bacul-sebaculnya. Tidak pernah dalam sejarah Melayu pembesar Melayu mengangkat sembah kepada bukan Melayu, hari ini sudah berlaku di DUN Perak dan Selangor.
"Ampun Tuanku Beribu Ampun, Sembah Patik Harap Diampu.
"Sejak April 2008, cacing sudah menjolok mata. Apakah Tuanku ingin membiarkan cacing ini terus bermaharajalela tanpa batasan?
"Pada hemat patik pacal yang hina, sudah tiba masanya Tuanku menintahkan hukuman buang negeri ke atas sekumpulan bukan Melayu yang merasakan mereka sekarang raja di Perak.
"Jangan terus berdiam diri, patik khuatir suatu hari nanti nasi sudah menjadi bubur, tragedi Kuala Sepetang berulang lagi.
"Nyahkan Sivakumar dan mereka yang terbabit membuat keputusan kononnya menghadiri majlis tuanku satu kesalahan keluar dari negari Perak Darul Ridzuan.
"Apakah guna seorang rakyat negeri tuanku jika majlis tuanku pun dianggap haram dan hina? Cukuplah orang Melayu menjadi bacul jangan sampai penaung orang Melayu pun dilihat tiada bertaring.
"Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun!
"Sembah dari Rakyat Marhaen EDITOR MYKMU."
No comments:
Post a Comment