Memang ada benarnya kata-kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau tidak boleh dianggap sebagai tanda rakyat menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Menurut Naib Presiden Umno itu, Najib sebagai perdana menteri tidak boleh dipersalahkan kerana beliau baru sahaja memegang tampuk pemerintahan negara.
“Saya percaya berikan masa kepada kami, kita dapat buktikan bahawa politik BN bukan politik sementara, bukan politik sensasi dan bukan politik berkisar kepada isu-isu tertentu saja tetapi suatu perjuangan yang konsisten dan mengambil kira cita rasa dan kehendak orang ramai, masa, tempat dan zaman,” katanya.
Begitu juga pandangan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa keputusan pilihan raya kecil itu bukan sebagai referendum terhadap kepimpinan negara.
Selaras dengan hujah Hishammuddin dan Muhyiddin, memang patut Najib diberi masa dan peluang untuk membuktikan keikhlasan beliau menerajui negara atas slogannya Satu Malaysia.
Indah sekali bunyi slogan “Satu Malaysia; Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan” di mana Najib berjanji untuk mengutamakan rakyat dari seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik tanpa sesiapa merasakan tercicir atau terpinggir.
Dalam ucapan penerimaan jawatan Perdana Menteri pada 3 April lalu, Najib dengan tegas menyatakan: “Kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik”.
Sebagai memenuhi janji dan harapannya sendiri, Najib boleh membuktikan keikhlasannya terhadap rakyat dengan mengesyorkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak untuk mengakhiri kebuntuan krisis politik negeri itu.
Seperti mana yang diketahui umum, kebekuan politik Perak berpunca dari “rampasan kuasa” oleh Umno setelah tiga Adun Pakatan Rakyat melompat meninggalkan parti asal mereka. Mentri Besar Pakatan Rakyat Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin telah pun memohon pembubaran DUN tetapi ditolak oleh Sultan Perak.
Kini keadaan semakin buntu dengan kes demi kes dibawakan ke mahkamah sedangkan suara majoriti rakyat Perak yang didengar di mana-mana mendesak mahukan penyelesaian yang muktamad.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Hishammuddin, “perjuangan BN adalah konsisten dan mengambil kira aspirasi rakyat,” tentutunya tidak mustahil untuk Najib mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dengan membolehkan adanya pilihan raya negeri di Perak.
Oleh kerana kepimpinan Umno dan BN amat yakin bahawa keputusan di Bukit Gantang — yang dimenangi oleh Mohd Nizar dengan majoriti yang lebih tinggi dari keputusan pilihan raya umum 2008 — bukan sebagai referendum terhadap Najib, tidak ada sebab mengapa pilihan raya negeri tidak boleh diadakan untuk mencairkan kebekuan politik di Perak.
Umno dan BN yang bermati-matian berkempen di Bukit Gantang sepanjang lebih seminggu yang lalu dengan bantuan dari agensi-agensi kerajaan sudah pasti mempunyai laluan mudah untuk memenangi hati rakyat Malaysia di Perak.
Tentunya tidak sukar untuk Umno dan BN memujuk rakyat dalam pilihan raya negeri dengan bantuan semua media arus perdana yang secara terang dan jelas berkempen untuk gabungan parti pemerintah pusat.
Malah seruan Satu Malaysia dapat dijadikan asas kempen BN untuk menjinakkan hati rakyat yang selama ini marah dengan keangkuhan dan ketidakpedulian pimpinan Umno yang semakin jauh jurangnya dengan rakyat yang ingin mereka sumbangkan bakti.
Jika tidak, status kerajaan negeri yang dirampas itu akan menjadi duri dalam daging untuk Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah jika undang-undang dan aparatus negara dipergunakan untuk menampung keputusan yang zalim dan rapuh, ia akan ranap juga satu hari nanti.
Seruan untuk mendahulukan rakyat memang patut disokong kerana ia adalah gambaran niat yang ikhlas. Namun niat sahaja tidak akan ke mana; rakyat telah perit melalui era sepanjang lima tahun lalu di mana janji demi janji ditaburkan. Malah dua dekad sebelum itu pun penuh dengan pelbagai juadah janji.
Buktikan sokongan melalui pilihan raya negeri Perak; kecualilah kalau Umno dan BN merasakan mereka akan ditolak oleh rakyat.
Tetapi itu mungkin mustahil kerana semua pemimpin Umno dan BN yakin rakyat masih tetap bersama mereka. Jadi tidak perlu tunggu lama lagi; biarkan rakyat — yang dijanjikan untuk didahulukan — membuat keputusan.
Umno dan BN tidak perlu merasa takut dengan Pakatan Rakyat kerana BN sudah pun terkenal dengan perjuangan “membela rakyat” yang pasti akan diberi pertimbangan wajar oleh rakyat di Perak.
Lagi pun di mata para pemimpin Umno, siapa dan apalah sangat Pakatan Rakyat? Di Perak sahaja, dua tiga kerat exco negeri pun boleh “dibeli” begitu sahaja.
Cumanya Umno dan BN terpaksa lebih berhati-hati sekarang kerana rakyat jelata semakin prihatin dengan soal-soal ekonomi, hak, keadilan dan demokrasi - bukan sahaja di Perak, malah di seluruh negara. Kini semakin susah untuk mana-mana pemimpin politik membohongi rakyat.
No comments:
Post a Comment