e- papers

We Have moved . . . .

Go to   >    >  >> new Site     

Search This Blog

Thursday, May 7, 2009

BN lupa, mereka juga pemerintah 4 negeri

Zulkifli Yahaya | Thu | May 07, 09 | harakahdaily.net

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yang juga selaku Adun BN Bakar Bata, Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah sewaktu menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut dalam kawasan Alor Setar, mengungkit-ungkit pemberiannya sebagai seorang Adun pembangkang.


"Sepatutnya yang memberikan sumbangan ini ialah kerajaan negeri yang memerintah," katanya merujuk kepada kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Dato' Seri Azizan Abdul Razak.

Ahmad Bashah, seperti juga lain-lain Adun BN, setiap kali menyampaikan sumbangan kepada rakyat akan berucap seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat mahupun PAS tidak pernah menghulurkan apa-apa bantuan terhadap rakyat.

BN sahajalah konon-kononnya yang turun padang siang malam membantu rakyat. Walhal kehadiran mereka untuk membantu rakyat semenjak menjadi pembangkang boleh dibilang dengan jari.

Exco Kebajikan, Ustazah Aishah Ghazali mendedahkan dalam sidang Dun Kedah perihal Adun BN bila didatangi orang susah memohon bantuan. YB BN tersebut akan segera menunjukkan pelan ke Wisma Darul Aman: "Pergi jumpa depa, sekarang BN bukan lagi kerajaan."

Sudah menjadi amalan PAS sejak zaman Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor lagi, mereka adalah kumpulan yang pertama sampai ke rumah mangsa kemalangan, sebelum para pemimpin BN sampai.

Sewaktu Kedah dilanda banjir besar pada tahun 2003, ramai mangsa banjir merungut kerana bantuan dari kerajaan (BN) lambat sampai. Tapi mereka bersyukur kerana kumpulan 'tentera merah' iaitu Unit Amal PAS turun bagai sebuah entiti kebajikan yang sangat tersusun, membantu di peringkat awal sebelum kedatangan kumpulan bantuan dari Pejabat Daerah serta lain-lain jabatan kerajaan.

Mereka turun dengan bot dan pacuan empat roda, sambil bendera PAS berkibaran di kenderaan tersebut. Macam turunnya kumpulan Hizbullah membantu rakyat Lubnan, selepas dibedil Israel. Selepas banjir surut, kumpulan Unit Amal turun lagi membersih rumah. Ia tidak dilakukan oleh Pemuda Umno.

Bila datang pilihan raya umum 2004, Barisan Alternatif di semua negeri mengalami kemerosotan undi popular berbanding 1999 - kecuali Kedah, satu-satu negeri yang mencatatkan peningkatan.

Antara faktor kekuatan PAS Kedah ialah mereka yang mula memperkenalkan badan kebajikan di kalangan rakyat Kedah. Badan kebajikan berperanan ala badan khairat kematian. Ia diwujudkan melalui PAS. Ramai yang berminat menyertainya, lantas bersama PAS.

Apabila tsunami melanda Kedah, tahun 2004, PAS berganding bahu dengan semua pertubuhan dalam memberi sumbangan kepada mangsa. Malahan PAS lebih ke depan berbanding Umno yang hanya bertenggek dengan jabatan kerajaan.

Habis tsunami, sewaktu Tuanku Sultan Kedah berkenan memberi penghargaan kepada semua pertubuhan dan pihak yang membantu mangsa Tsunami, nama PAS digugurkan. PAS tidak kecil hati kerana sedar jika nama PAS diselitkan juga, tentulah pegawai kerajaan yang berbuat demikian akan dipecat atau didakwa ke mahkamah atas tuduhan meliwat. Yang penting rakyat tahu bahawa PAS terlalu dekat di hati rakyat sewaktu rakyat dalam kesusahan.

Berbalik kepada dakwaan Adun BN bahawa semua urusan berkaitan kebajikan rakyat adalah urusan kerajaan negeri, ia perlukan penjelasan. Jika tidak, sebahagian rakyat yang jahil akan terus tersesat dengan dakyah dan propaganda BN.

Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran di Kedah, maka mereka adalah pentadbir dalam jajahan takluk negeri Kedah sahaja dan bidang kuasa yang termaktub mengikut perlembagaan negeri.

Kerajaan negeri tidak berkuasa mengutip cukai pendapatan, cukai jualan, duti import dan eksport, cukai jalan dan pelbagai lesen yang diwajibkan. Negeri Kedah juga diperintah oleh sebuah lagi kerajaan iaitu Kerajaan Pusat yang dikuasai BN. Mereka yang memonopoli semua jenis cukai yang dikutip dari rakyat.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau lalu, pemimpin BN berkempen mengecam kerajaan negeri kerana tidak tarkan jalan yang berlopak. Walhal, menurap jalan adalah kerja kerajaan Pusat kerana mereka yang mengutip cukai jalan.

Mereka turut mengecam kerajaan negeri kerana isu pengangguran yang berleluasa akibat kilang-kilang ditutup, walhal ia adalah fenomena ekonomi semasa di seluruh negara dan dunia. Kerajaan Pusatlah yang lebih bertanggungjawab dan berhak untuk mengatasinya.

Sebaik Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, semua projek pembangunan yang disalurkan melalui pejabat daerah (seperti amalan sebelum ini) dihentikan. Mengapa mesti hentikan pembangunan untuk rakyat? Apakah mereka lupa bahawa mereka masih pemerintah di Kedah, sebagai peneraju kerajaan Pusat?

Jika pemimpin BN menuding jari terhadap kerajaan negeri kononnya tidak melaksanakan pembangunan akibat tiadanya projek besar, maka mereka juga berhak dituding jari kerana gagal melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat di Kedah. Susah juga bila pihak yang tak sedar diri bahawa mereka juga pemerintah, melepaskan tanggungjawab lalu menyalahkan orang lain.

Tidak logik pula untuk mengatakan pemimpin BN tidak faham konsep federalisme. Mereka faham sebenarnya, tapi apa yang dilakukan ialah mahu mendera rakyat kerana menangkan Pakatan Rakyat di Kedah. Macam perangai Dajal, bagi 'syurga' untuk pengikut dan 'neraka' untuk penentang.

No comments:

Post a Comment