Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Wan Nik Wan Yusoff, khemah dan pondok polis juga telah mula didirikan di sekitar kawasan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.
"Setakat pemerhatian yang pihak jentera PAS jalankan, terdapat pondok dan khemah-khemah polis yang diwujudkan sepertimana yang dibuat di pilihan raya kecil Kuala Terengganu," katanya kepada Harakahdaily.
Namun jelasnya, keadaan tersebut kali ini dijangka akan mengalami sedikit perbezaan memandangkan pilihan raya tersebut diadakan secara serentak bersama dengan Dun Selambau dan Batang Air.
Mengulas lanjut mengenai situasi tersebut, Wan Nik berkata pihak polis kini semakin menambahkan bilangan anggotanya selain menggiatkan operasi mereka sehingga menyebabkan orang ramai menyedari kehadiran mereka.
"Kita boleh rasai bilangan mereka yang semakin ramai dengan bilangan pondok yang didirikan selain, van, kereta, trak, motorsikal yang mempunyai logo polis.
"Malah anggota polis cawangan khas juga turut sama membanjiri kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti kedai makan dan program anjuran Pakatan Rakyat," ujarnya.
Jelasnya, program ceramah dengan kapasiti besar yang dijalankan oleh Pakatan Rakyat juga tidak diberikan permit oleh polis dengan alasan belum memasuki tempoh kempen yang sebenar.
"Alasan mereka membatalkan ceramah kita adalah apabila ceramah yang dikategorikan besar itu boleh mengganggu lalu lintas selain belum sampai ke tempoh kempen selepas proses penamaan selesai," katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Nik juga meminta pihak polis agar bersikap adil terhadap kedua-dua belah pihak pada hari penamaan calon di Bukit Gantang nanti.
Ia adalah berhubung kenyataan pihak polis Perak yang mengehadkan bilangan penyokong bagi calon yang bertanding berhimpun di hari penamaan calon pada 29 Mac.
No comments:
Post a Comment