e- papers

We Have moved . . . .

Go to   >    >  >> new Site     

Search This Blog

Monday, December 22, 2008

My dream contest: Wan Mutalib lwn Wan Farid


DIS 1 - Sebaik sahaja Datuk Razali Ismail meninggal dunia baru-baru ini, rakan-rakan terus menghubungi saya dan bertanya siapa akan bertanding di Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil nanti. Ketika itu juga, tanpa perlu berfikir panjang saya menjawab, pertandingan impian saya adalah antara Datuk Wan Mutalib Embong dari Pas dengan Datuk Wan Ahmad Farid dari Umno.

Bagi saya kedua-dua calon inilah yang paling baik bagi pihak parti masing-masing untuk bertanding dalam pilihan raya ini. Sebenarnya, mereka berdualah calon yang terbaik untuk kedua-dua parti dalam pilihan raya lalu.

Saya difahamkan, Datuk Wan Mutalib memang calon yang disenaraikan oleh Pas kawasan Kuala Terengganu dan Pas negeri Terengganu untuk bertanding dalam pilihan raya umum lalu. Namun, selepas Pas Pusat memutuskan Haji Muhamad Sabu, naib presiden parti itu bertanding di situ, Wan Mutalib tidak bertanding.

Wan Mutalib adalah Adun Batu Burok sejak sekian lama. Ketika hampir kesemua calon Pas kalah (tinggal empat sahaja yang menang) dalam pilihan raya 2004, Wan Mutalib tetap menang di Batu Burok. Dia juga adalah salah seorang dari lima pemimpin utama Pas di Terengganu yang mula menang sejak pilihan raya 1982 lagi.

Apabila beliau tidak bercadang untuk menjadi Adun lagi, Wan Mutalib telah disebut-sebut bertanding peringkat Parlimen Kuala Terengganu dengan bertukar tempat dengan calon yang lebih muda iaitu Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang bertanding di Dun beliau iaitu Batu Burok. Sebelum ini, Azman adalah anggota Parlimen Kuala Terengganu mulai 1999 tetapi kalah dalam pilihan raya 2004.

Selain Wan Mutalib, ada juga disebut-sebut ramai yang mahukan calon-calon muda pula bertanding. Namun bagi saya, calon muda sangat diperlukan di peringkat Dun untuk memberikan imej baru kepada Pas Terengganu tetapi untuk Parlimen calon yang berpengalaman dan berpotensi menang diperlukan.

Selain Wan Mutalib ada juga rakan-rakan di Terengganu menyebut nama Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Mustafa Ali bertanding di sini. Mustafa memang tinggal di Kuala Terengganu. Namun secara peribadi saya berpendapat, Wan Mutalib tetap calon yang lebih baik kerana Mustafa diperlukan untuk memastikan Pas memenangi semula negeri Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau pun memang sedang sibuk merancang perkara itu.

Bagi pihak Umno pula, sebagaimana yang saya katakan tadi pilihan saya adalah Datuk Wan Farid, Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu. Beliau juga adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebelum Mac 2008, Wan Farid adalah setiausaha politik Perdana Menteri.

Saya mula mengenali Wan Farid ketika beliau bertindak sebagai peguam bagi mewakili Umno dalam petisyen pilihan raya Bukit Payong. Saya tidak ingat lagi tarikhnya tetapi ketika itu Wan Farid masih muda belia. Wan Mutalib pula adalah peguam yang mewakili Pas.

Kerana tertarik dengan kajian dan presentation yang dibuatnya, hakim kes itu telah mengucapkan tahniah kepada Wan Farid dan menyebut beliau adalah rising star dalam dunia kepeguaman ini. Kes itu kemudiannya dimenangi Umno dan pilihan raya kecil Bukit Payong diadakan. Sejak itu, saya sendiri mula menjadi peminat beliau dan mengikuti kegiatan beliau. Namun, ia terputus apabila saya mula bertugas di Kota Bharu (1990 -95) dan seterusnya mula bertugas di Kuala Lumpur pula selepas itu.

Nama Wan Farid, mula saya kenali semula selepas beliau dilantik menjadi setiausaha politik PM dan seterusnya timbalan menteri Mac lalu. Dalam satu kenduri kahwin keluarganya di Ampang, saya sempat bertegur sapa dengan beliau dan beliau dengan mudah memberikan nombor telefon peribadinya untuk saya hubungi. Namun, belum sempat saya hubungi hingga kini.

Nama Wan Farid sekali lagi timbul apabila tercetusnya Tragedi Hitam Batu Burok 2007 lalu. Ketika itu, dua orang penyokong Pas tertembak peluru hidup polis dalam apa yang dinamakan media sebagai rusuhan Batu Burok. Mustafa, selaku Pesuruhjaya Pas Terengganu mendakwa Wan Farid terbabit dalam merancang rusuhan ini untuk memburuk-burukkan Pas. Namun Wan Farid menafikannya. Sehingga kini perbicaraan kes ini belum selesai.

Kini pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan berlangsung tidak lama lagi. Saya difahamkan Umno mahu ia dilaksanakan Disember ini juga untuk mengelakkan ia terlalu rapat dengan pemilihan dalam partinya Mac tahun depan.

Sebagaimana saya kata tadi, saya mengharapkan, my dream contest, adalah antara Wan Mutalib dan Wan Farid, dua pemimpin elit Pas dan Umno di Kuala Terengganu ini. Saya yakin, jika kedua-dua calon ini berminat, mereka sedang mengharungi air bah yang sedang melanda Kuala Terengganu ini.

- Zulkifli Sulong


No comments:

Post a Comment