e- papers

We Have moved . . . .

Go to   >    >  >> new Site     

Search This Blog

Tuesday, January 13, 2009

Apa yang Khairy dan MCA tahu tentang hudud?

Mon | Jan 12, 09 | 11:28:41 am MYT | Ahmad Tajdid | Harakah

"Cakaplah sesuatu yang masuk akal, hentikanlah... Kita semua kaum adalah bersaudara. Kalau MCA mahu cakap isu hudud, adakah mereka faham apa itu hudud?" tanya Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chow.

Menurut Hu, MCA tidak wajar menyentuh isu seperti hudud dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu semata-mata untuk mengelirukan serta menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu.

"Persoalan mengenai Islam tidak sepatutnya dibincangkan di kalangan bukan Islam kerana kita tidak alim mengenai hal tersebut," kata Hu lagi.

Memang isu hudud paling menonjol dimainkan MCA dalam kempen pilihan raya kecil kali ini. Walaupun penjelasan diberikan oleh para pemimpin PAS bahawa hukum hudud jika dilaksanakan, tidak akan dikuatkuasakan kepada orang bukan Islam; MCA dan BN masih memomok-momokkan isu itu kerana ketandusan isu untuk berhadapan PAS dan Pakatan Rakyat.

Memanglah MCA sebuah parti yang rendah moralnya. Manakan tidak, seorang yang jelas mengaku berzina dan punya perempuan simpanan pun boleh menang dalam pemilihan Timbalan Presiden parti itu.

Mungkin kerana punyai pemimpin yang tidak bermoral menyebabkan MCA menentang keras pelaksanaan hudud. Tetapi apa yang hendak dirisaukan kerana hudud, seperti juga undang-undang Islam yang dilaksanakan sekarang, tidak terpakai ke atas orang bukan Islam.

MCA juga perlu menyedari bahawa hukum Islam telah dilaksanakan di negara ini lebih dahulu daripada 'common law' British. Dan sepanjang 500 tahun pelaksanaan undang-undang Islam (termasuk undang-undang jenayah Islam) di Tanah Melayu, tidak ada satu kejadian pun yang menunjukkan orang bukan Islam dipaksa menerima hukum Islam.

Seorang lagi tukang kempen Umno yang ghairah memperkatakan soal hudud ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam satu siri kempennya di Kuala Terengganu, menantu PM itu menyifatkan PAS sebuah parti "keluk-kelek" atau tanpa pendirian apabila tidak bersedia melaksanakan hudud selepas kononnya didesak oleh rakan kongsinya DAP.

"PAS mudah menarik balik cadangan hendak melaksanakan hukum hudud apabila digertak DAP," katanya.

Tapi seriuskah Khairy untuk melaksanakan hudud? Jawapannya pasti tidak. Malah beliau melalui jurucakapnya menafikan akan menyokong PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Seperti juga para pemimpin Umno yang lain, isu hudud hanya ditonjolkan oleh Khairy untuk tujuan politik. Pertama bagi menakut-nakutkan orang bukan Islam. Kedua, untuk cuba memecahbelahkan perpaduan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP.

"Orang Terengganu kata PAS parti 'dok rok cetong' (sangat lemah)," katanya ketika berucap dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu di Kampung Gelugor Raja dalam Dun Wakaf Mempelam.

Begitulah retorik Khairy.

Tanpa disedari, Umnolah sebenarnya parti 'dok rok cetong'. Parti itu menyertai pilihan raya kecil Kuala Terengganu ketika calon 'favourite' Khairy dipertikaikan oleh orang Umno sendiri. Malah bapa mentua Khairy sendiri kesal dengan sikap orang Umno yang mengkritik Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon pilihan parti itu kerana dianggap kurang mesra rakyat.

MCA dan Khairy akan terus memainkan isu hudud kerana kekeringan isu di Kuala Terengganu. Tidak seperti MCA, Khairy perlu insaf bahawa hudud bukanlah sesuatu yang boleh dipolitikkan.

Hudud dilaksanakan bertujuan mengelak pesalah atau pelaku jenayah syariah mendapat pembalasan di akhirat. Pastilah balasan di akhirat lebih dahsyat daripada momokan balasan di dunia. Oleh kerana itulah, hudud hanya dilaksanakan kepada mereka yang beriman bertujuan untuk menyelamatkan mereka daripada seksa neraka.

Mereka yang bukan Islam termasuk para pemimpin MCA tidak dipaksa untuk menerima hudud kerana mereka tidak beriman. Menurut sebahagian ulama, adalah tidak adil untuk melaksanakan hudud ke atas orang bukan Islam kerana mereka tidak beriman kepada hari akhirat dan hari pembalasan. Soalnya, berimankah Khairy?

No comments:

Post a Comment