Ianya merupakan medan bagi menguji parti-parti yang bertanding dalam menghadapi isu-isu semasa dalam senario politik negara yang sentiasa bergolak mutakhir ini, pasca pilihan raya umum ke-12.
Faktor calon merupakan faktor sampingan dalam sesuatu pilihan raya, dan dalam konteks pilihanraya kecil di Kuala Terengganu, faktor peribadi calon iaitu antara Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada BN dan Mohd Abdul Wahid Endut yang mewakili PAS, sebaliknya lebih menarik perhatian.
Kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing, namun secara realitinya hakikat yang terpaksa diakui banyak pihak bahawa calon yang ditampilkan PAS jauh lebih menyerlah.
Namun, ia bukanlah bertumpu kepada isu pemilihan calon tetapi pilihan yang dibuat itu merupakan satu keputusan bagi menjayakan matlamat pembentukan Dual Party System.
Menjelang Mac 2009, adalah suatu jangka masa yang khusus dan penting dalam merencanakan suasana politik negara.
Dan segala agenda dan perkara yang berlaku dalam perjalanan menuju kepada tempoh tersebut dianggap penting.
Oleh itu, faktor calon adalah terlalu minima berbanding dengan pertarungan untuk merebut pengaruh di antara BN dan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat berada di pihak anonymous yakni dalam rangka perancangan menuju ke Putrajaya.
Melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat biar pun tidak bertanding seperti KeADILan dan DAP, namun mereka tetap berhempas pulas.
Mereka bekerja bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya kecil ini bagi menambahkan lagi keyakinan terhadap harapan rakyat untuk melihat lahirnya pemerintahan baru.
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu merupakan medan ujian sebenar bagi ahli-ahli, penggerak dan pimpinan PAS dalam merealisasikan usul muktamar yang diadakan Ogos lalu.
Kesungguhan jentera Pakatan Rakyat
Kesungguhan yang ditunjukkan DAP dan KeADILan sangat memberi kesan apabila ianya jelas dapat dilihat menerusi komitmen pemimpin mereka yang menjalankan kempen.
Ini merupakan satu lonjakkan besar dalam senario perkembangan politik negara yang tidak berlaku sebelum ini.
Walau apa pun keputusan pilihan raya kecil ini, kesan kerjasama ini menjadi bukti Pakatan Rakyat boleh melangkah dengan gagah dan bukan lagi pakatan yang rapuh.
Sebaliknya BN kelihatan begitu celaru dengan masalah dalaman yang belum selesai, sepertimana yang ditunjukkan oleh pemimpin MCA dalam satu majlis baru-baru ini.
Kita boleh lihat dengan jelas kedudukan antara pemimpin-pemimpin kanan MCA yang terlalu jauh manakala Chua Soi Lek tidak kelihatan pada pilihan raya kecil ini.
Ia membuatkan ada yang beranggapan seolah-olah Chua dinasihati agar menghilangkan diri daripada kempen kali ini.
Hal tersebut nyata menyinggung masyarakat teochew yang merupakan kumpulan Chua Soi Lek, dengan sikap yang ditunjukkan kepada Chua.
Hubungan antara parti dalam BN iaitu antara MCA, MIC dan Gerakan kelihatan dalam suasana yang tidak selesa.
Punca kepada kekeruhan antara Umno-MCA adalah apabila terdapat pihak yang menyebarkan petikan ucapan ahli parlimen Umno dalam perbahasan dewan rakyat yang membuli pemimpin MCA dan Gerakan.
Sebagai contoh, ahli parlimen Sri Gading mengacau Timbalan Menteri Penerangan ketika memberi penjelasan mengenai isu siaran berita cina di televisyen.
Ia adalah kegelisahan BN kerana mereka memikirkan pertolongan mereka dalam kempen ini seolah-olah mereka berkempen bagi memberi kemenangan kepada Umno dan bukan BN.
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu bukan pertarungan antara orang-orang Terengganu kerana ia adalah merupakan lambang kepada senario semasa di seluruh negara.
Jika BN tumbang di Kuala Terengganu, ia akan menjadi petunjuk kepada Pakatan Rakyat dalam usaha menuju ke Putrajaya.
Oleh yang demikian, pilihan raya ini bukanlah isu calon BN dan PAS, tetapi ia merupakan isu penentuan perjalanan politik arus perdana untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13
No comments:
Post a Comment