KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Hrkh) - Rakyat Terengganu perlu menggunakan peluang terbaik esok bagi memilih pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat dengan jujur dan ikhlas.
Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, rakyat negeri ini dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dengan petroleum yang mampu mensejahterakan kehidupan mereka.
"Namun agak malang bagi rakyat Terengganu biar pun negeri kaya tetapi rakyat masih lagi ramai yang miskin sehingga disenaraikan tempat kedua termiskin di negara ini.
"Masalah ini berlaku kerana kesilapan mengurus kewangan negeri sehingga rakyat tidak mendapat hak sepatutnya yang dinikmati mereka," katanya ketika menyampaikan khutbah di Masjid Penghadang Baru di Dun Alor Limbat hari ini.
Kehadirannya di masjid itu seperti sudah dihidu orang ramai apabila jemaah yang datang agak luar biasa sehingga melimpah ke luar.
Malah ramai yang kelihatan terpaksa turun semula ke bawah ketika solat hendak dimulakan.
Pihak masjid terpaksa menyediakan lebih banyak tikar di luar bangunan masjid bagi menampung kehadiran orang ramai terutamanya petugas pilihan raya yang datang dari luar Terengganu.
Orang ramai juga seperti berpuas hati mendengar khutbah disampaikan seorang ketua kerajaan negeri yang tidak pernah berlaku selepas Barisan Nasional kembali memerintah negeri ini pada 2004.
Awal pagi tadi di tempat yang sama diadakan Munajat Perdana bermula jam 3.30 pagi diisi dengan program zikir munajat, solat tahajut, solat hajat, witir dan berakhir solat Subuh serta kuliah.
Kelantangan suara Mohd Nizar ketika menyampaikan khutbah menyebabkan penyokong parti yang berada di bahagian belakang bertakbir.
No comments:
Post a Comment